Kelantan Dalam Sejarah: Tiada Sarang Burung Di Stadium Sultan Muhammad Ke IV

Pada 14 Feb 2015, Stadium Sultan Muhammad Ke IV (SSM-IV) bakal bergema lagi dengan sorakan penyokong dan peminat bolasepak Kelantan. Ia akan menerima kunjungan Lions XII dalam perlawanan Liga Super musim 2015.

Stadium berusia 50 tahun itu dianggap gelanggang keramat untuk pasukan bolasepak Kelantan.

Menjadi saksi jatuh bangun bolasepak Kelantan sejak 1965, SSM-IV menyimpan banyak kenangan. Stadium ini bukan sahaja menjadi gelanggang sukan bolasepak malah merupakan pusat ekonomi dengan berbagai aktiviti perniagaan berjalan di sekitarnya. Bahkan ia juga pernah menempatkan pusat pendidikan swasta ulung di Kelantan.

Sokmo.Net menyusuri sejarah SSMIV sejak dari mula pembinaannya.

Hamid Ramli, lagenda bolasepak Kelantan.
Hamid Ramli, lagenda bolasepak Kelantan.

Pada 25hb September, 1964, sebagaimana dilaporkan oleh Berita Harian, YAB Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Asri Haji Muda mengumumkan Kerajaan PAS Kelantan menyediakan peruntukan pendahuluan $300,000.00 sebagai tanda komitmen terhadap cadangan pembinaan sebuah stadium negeri di Kota Bharu.

Bila siap kelak, stadium tersebut dijangka boleh memuatkan 25,000 penonton.

Asri berkata, “adanya stadium sukan di Kelantan bukan sahaja akan menjadi lambang kemegahan di negeri ini, tetapi juga memberikan sumbangan besar kepada perkembangan dan kemajuan sukan di negara ini.”

Setahun sebelumnya peminat sukan nombor satu negara, YAB Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Perdana Menteri Malaysia telah menderma sebanyak $20,000.00 sebagai tanda sokongan kepada hasrat rakyat Kelantan untuk memiliki sebuah stadium sendiri.

Sebuah tapak seluas 5.3 hektar telah dikenalpasti. Stadium yang bakal menjadi pusat sukan termoden di Pantai Timur Semenanjung itu akan dibina di simpang Jalan Hospital dan Jalan Mahmood.

Selain kemudahan serba moden, ia juga akan menjadi stadium terindah dan terbesar di Pantai Timur.

Pada 17hb Julai, 1965, Menteri Besar Kelantan memberitahu Berita Harian, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan $1 juta bagi pembinaan stadium negeri. Menurut Datuk Asri, ini adalah sebahagian daripada peruntukan besar untuk membantu pembangunan Negeri Kelantan di bawah Rancangan Pembangunan Lima Tahun Malaysia yang pertama.

Hashim Mustapha, lagenda bolasepak Kelantan.
Hashim Mustapha, lagenda bolasepak Kelantan.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri,  Tun Abdul Razak telah mengadakan pertemuan dan siri perbincangan dengan Kerajaan PAS Kelantan. Tujuan pertemuan itu ialah bagi menjamin Negeri Kelantan tidak ketinggalan dari sudut pembangunan berbanding negeri-negeri lain.

Menurut Asri, Rancangan Lima Tahun Malaysia yang pertama itu akan menelan belanja $200 juta, meliputi projek-projek pembangunan Kerajaan Persekutuan, projek-projek yang dicadangkan oleh negeri dan projek-projek majlis bandaran.

Projek-projek tersebut termasuklah pembinaan masjid-masjid, pasar-pasar dan rumah-rumah murah untuk rakyat.

Bagaimanapun, lebih dua tahun kemudian, stadium impian rakyat Kelantan itu belum dapat digunakan. Kos pembinaan telah menelan perbelanjaan $1.7 juta. Tetapi pembinaan stadium itu hanya 80% siap.

Dali Omar, lagenda bolasepak Kelantan.
Dali Omar, lagenda bolasepak Kelantan.

Naib Pengerusi Persatuan Stadium Kelantan, Datuk Haji Abdullah Bin Mahmud memberitahu Berita Harian seperti diterbitkan pada 23hb September 1966, pihaknya memohon bantuan kewangan tambahan berjumlah $1 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi menyiapkan stadium tersebut.

Demi melihat hasrat rakyat Kelantan menjadi kenyataan, YAB Tunku telah menghantar Setiausaha Tetap Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Jamil Rais untuk melawat Kelantan selama tiga hari bagi tujuan meninjau dan memberi laporan kepadanya.

Pada 14hb April 1967, stadium yang diberi nama Stadium Sultan Muhammad Ke IV  telah digunakan buat pertama kali. Ia menjadi gelanggang perlawanan Piala Emas Raja-Raja antara Kelantan menentang Pahang.

Bagaimanapun aktiviti-aktiviti pembinaan masih berjalan.

Setahun selepas perlawanan sulung itu, pihak pengurusan stadium merayu peruntukan sekurang-kurangnya $600 ribu bagi membina tempat duduk dan lampu limpah.

Menurut Abdul Rahim Merican selaku pengurus stadium ketika itu, pihaknya telah memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta mengutip derma dari orang ramai.

Walaupun pembinaannya menempuh perlbagai cabaran, tetapi SSM-IV telah membawa begitu banyak kenangan manis kepada rakyat Kelantan. Selain daripada acara sukan, stadium itu juga menjadi sekolah swasta Institut Pendidikan (IP) atau dikenali sebagai sekolah bawah tangga.

Ia juga pusat perniagaan dan kesenian. Antara tarikan yang tersohor adalah wujudnya sebuah Balai Seni Lukis pada tahun 1968, dimiliki oleh pelukis, Yusof Abdullah.

Pada tahun 1970, Kementerian Belia dan Sukan telah meluluskan peruntukan untuk pembinaan lampu limpah di SSM-IV.mac

SSM-IV menjadi saksi kepada banyak aksi cemerlang bolasepak Kelantan. Antaranya apabila Kelantan menewaskan Singapura, lapan kosong dalam perlawanan Piala Malaysia pada 20hb Jun 1970.

Gol-gol Kelantan dijaringkan oleh Nik Salleh, Mahadi Rasul dan Zawawi Rasul, serta empat gol oleh lagenda Kelantan, Dali Omar.

Selepas itu, SSM-IV terus menjadi gelanggang kelahiran bintang-bintang bolasepak negara seperti Nik Fauzi, Hamid Ramli dan Hashim Mustapa.

Hari ini, SSM-IV menjadi ‘gelanggang keramat’ The Red Warriors.

Menyaksikan perkembangan positif sukan bolasepak Kelantan, mantan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, pada 18hb Mei 2011 memberitahu Kerajaan PAS Kelantan akan membina sebuah stadium baru bagi menggantikan SSM-IV.

Ahli Majlis Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa, semasa Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada bulan Oktober, 2011, memaklumkan, Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan telah menerima cadangan pembangunan yang berasaskan BOT (Bina, Urus dan Pindah) daripada empat buah syarikat untuk membina stadium negeri yang baru.

stadiumbktmerbauPada awalnya pembinaan diramal bermula Mac 2012. Tetapi tidak menjadi nyata.

Majlis pecah tanah pembinaan stadium negeri yang baru akhirnya disempurnakan pada 30hb Mac 2013 oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Stadium itu akan dibina di atas tanah seluas 50 hektar di Bukit Merbau, Pasir Puteh. Kos pembinaan dianggarkan bernilai RM153 juta. Apabila siap boleh menampung 40 ribu penonton.

Di dalam upacara tersebut, Datuk Husam memaklumkan stadium baru itu akan dibina oleh kontraktor dari Republik Rakyat China yang berpengalaman dalam pembinaan stadium olimpik Beijing yang terkenal dengan jolokan ‘sarang burung’.

Walaupun banyak projek terbengkalai dijadikan sarang burung di Kelantan, stadium Bukit Merbau belum menjadi sarang burung.

Sudah dua tahun berlalu, belum ada tanda-tanda ia akan terbengkalai, apa lagi akan dibina.

Maka, pada 14 Februari, 2015, sorakan penyokong The Red Warriors akan terus bergema di Stadium Sultan Muhammad Ke IV yang penuh kenangan.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi pengarang, ia tidak semestinya mewakili pandangan Sokmo.Net. Sebarang pandangan/artikel balas boleh dihantar ke admin@sokmo.net. Terima kasih.