Fakri Nekad Bangkitkan Kembali Kegemilangan TRW

KOTA BHARU – Selepas kecewa tidak dapat beraksi dalam perlawanan pembukaan Liga Super 2015 bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 7 Februari lepas berikutan penggantungan akibat menerima kad merah musim lalu penyerang Kelantan, Ahmad Fakri Shaarani bertekad akan memanfaatkan sepenuhnya peluang menentang pasukan Lions XII di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Sabtu ini.

Beliau berkata, sekiranya tersenarai dalam kesebelasan utama pemain pada perlawanan tersebut nanti berazam serta nekad untuk membantu Kelantan menewaskan Lions XII yang disifatnya sebagai satu pertemuan sengit di antara kedua-dua pasukan.

“Saya akan manfaatkan sepenuhnya peluang bagi memastikan kemenangan Kelantan pada perlawanan itu sekiranya ketua jurulatih (George Boateng) menyenaraikan nama saya dalam kesebelasan utama menentang Lions XII Sabtu ini,” katannya dihubungi sokmo.net di sini lewat malam tadi.

Katanya, The Red Warriors (TRW) musim ini adalah satu pasukan kuat dengan memiliki satu keazaman tinggi serta bersedia bertempur demi memartabatkan kembali imej pasukan Kelantan.

Tambahnya, dengan kehadiran semula Norfarhan Muhammad, selain kehebatan dua penyerang import berbisa, Erwin Carillo dan Emmanuel Kenmogne bakal memberi suntikan berbisa dalam usaha TRW memburu kemenangan.

“Diakui, Lions XII bukanlah calang-calang pasukan kerana mereka itu memiliki pakej jentera serba lengkap dengan pemain muda begitu agresif.

“Berjaya mengalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan jaringan 5-3 tentu bakal menaikkan semangat mereka, namun, saya percaya Boateng sudah memiliki resepinya tersendiri menjelang pertemuan Lions XII itu,” katanya.