Takkan Ibrahim Ali Takut Bertanding PRK Chempaka?

PRK Chempaka adalah peluang terbaik untuk Ibrahim Ali memulihkan maruahnya setelah ditewaskan di kubu kuatnya, oleh anakanda Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam Pilihan Raya Umum 2013.

Sebenarnya, ungkapan tewas tidak menggambarkan realiti yang berlaku. Keadaan sebenar ialah Ibrahim Ali telah di belasah oleh Ustaz Nik Mohamad Abduh di kerusi Parlimen Pasir Mas. Ibrahim Ali yang bertanding di Pasir Mas untuk kali ke tujuh sejak 1986 kalah dengan majoriti lebih lapan ribu undi oleh Nik Abduh yang merupakan orang luar Pasir Mas dan pertama kali pula bertanding di dalam pilihan raya.

Ibrahim perlu membuktikan kekalahan memalukan di kubu kuatnya itu bukanlah satu terajang maut oleh Nik Abduh.

Ibrahim perlu segera kembali bertanding, dan PRK Dewan Undangan Negeri Chempaka adalah peluang terbaik untuk Ibrahim Ali buktikan dia masih anak jantan.

PRK DUN Chempaka adalah kerusi tradisi PAS dan menjadi kubu kuat keluarga Nik Abduh sejak kerusi tersebut pertama kali dipertandingkan pada tahun 1995. Selama 20 tahun tersebut, DUN Chempaka hanya mengenali seorang wakil rakyat iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beranikah Ibrahim Ali?

Sudah tentu Ibrahim berani. Dia sendiri sering mengangkat dirinya sebagai wira Melayu. Dia mengetuai PERKASA, sebuah NGO berhaluan kanan yang mempunyai kekuatan 600 ribu ahli. Mereka bukan orang biasa, mereka adalah bekas Ketua Polis Negara, bekas Jeneral Angkatan Tentera, bekas Menteri dan Timbalan Menteri, bekas Hakim, bekas Pegawai Tinggi Suruhanjaya Pilihan Raya, bekas Pegawai Tinggi Perkhidmatan Awam dan tidak kurang juga bekas banduan.

Lebih dari itu, sebilangan besar pimpinan PERKASA berpengalaman luas dalam politik, mereka terdiri dari bekas ahli-ahli politik pencen atau yang telah tewas dalam pemilihan pelbagai peringkat dalam UMNO.

Jadi mengapa Ibrahim Ali belum buat sebarang kenyataan untuk menawarkan diri bertanding di DUN Chempaka?

Mustahil untuk difikirkan Ibrahim Ali gugup.

Dunia politik Ibrahim penuh dengan warna-warna berbeza. Kelulusan Kamunting dan dua kali di tahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, Ibrahim Ali terkenal sebagai orang kuat Datuk Mohamad Nasir bekas Menteri Besar Kelantan, bekas orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas orang kuat Tun Dr. Mahathir Mohamed.

Tun Dr. Mahathir dan Ibrahim, sebelum PRU 2013 di Pasir Mas.
Tun Dr. Mahathir dan Ibrahim, sebelum PRU 2013 di Pasir Mas.

Ibrahim pernah menjadi pemimpin pelajar di era kebangkitan pelajar 1970 an. Kemudian Ibrahim menyertai Parti BERJASA setelah mencipta nama dalam rusuhan politik Kelantan 1977.

Pada tahun 1986, Ibrahim Ali bertanding kerusi Parlimen Pasir Mas sebagai calon Barisan Nasional, dan menang. Empat tahun kemudian, Ibrahim bertanding dibawah kerusi Parti Melayu Semangat 46, dan menang.

Tetapi pada tahun 1995 dan 1999, Ibrahim kembali bertanding di bawah logo Barisan Nasional tetapi tewas kedua-dua kali.

Pada tahun 2004, Ibrahim Ali yang telah tidak dipilih sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian Pasir Mas, bertanding sebagai calon bebas dan sekali lagi tewas.

Apabila Anwar Ibrahim di bebaskan dari penjara, dan terbang ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan sakit belakang, Ibrahim didakwa antara yang terawal terbang ke Munich. Tiada siapa merasa pelik jika Ibrahim menawarkan diri menjadi orang kuat Anwar di Kelantan, tetapi, untuk berlaku adil kepada Ibrahim, pada ketika itu dia tidak memerlukan Anwar untuk kembali ke politik arus perdana.

Malangnya Ibrahim terus membuat perhitungan yang salah, dan dua tahun kemudian, Ibrahim bertanding sebagai calon bebas di dalam pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir di Pasir Mas. Ibrahim hilang wang pertaruhan setelah hanya mendapat 415 undi.

Bukan Anwar Ibrahim, tetapi Allahyarham Nik Abdul Aziz selaku Pesuruhjaya PAS Kelantan, pada 2008 telah memberi nafas baru kepada Ibrahim dengan membenarkannya bertanding sebagai calon PAS untuk Parlimen Pasir Mas. Ibrahim kembali menang.

Tetapi sebaik melangkah ke Parlimen, Ibrahim tidak teragak-agak untuk menyerang PAS secara terbuka. Pada tahun yang sama Ibrahim menubuhkan PERKASA dan beberapa kali mengugut UMNO untuk menjadikan NGO tersebut sebagai parti politik.

Pilihan raya 2013, Ibrahim sekali lagi membuat drama. Kecewa apabila harapannya untuk bertanding di bawah logo Barisan Nasional tidak diambil endah oleh kepimpinan UMNO.

Ibrahim bertanding sebagai calon bebas kerusi Parlimen Pasir Mas. Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Johan Che Pa yang dipilih sebagai calon BN pula telah menarik diri. Tindakan Johan, memberi laluan untuk satu lawan satu antara Ibrahim dan pendatang baru, Nik Mohamad Abduh.

Ibrahim berdakapan dengan Johan Che Pa, di pusat penamaan calon Parlimen Pasir Mas, PRU 2013.
Ibrahim berdakapan dengan Johan Che Pa, di pusat penamaan calon Parlimen Pasir Mas, PRU 2013.

Pada 5hb Mei 2013, PAS mendapat kemenangan manis, Nik Mohamad Abduh berjaya menumpaskan gergasi Pasir Mas yang lebih popular di kalangan pengkritiknya sebagai katak.

Ibrahim menyalahkan banyak pihak di atas kekalahannya. Tetapi tetap mengangkat dirinya sebagai wira yang boleh menyelamatkan orang-orang Melayu.

Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya telah membuat pengumuman proses penamaan calon untuk PRK DUN Chempaka akan dilangsungkan pada 10hb Mac 2015, dan sekiranya ada pertandingan, hari mengundi akan diadakan pada 22hb Mac 2015.

Tiba masanya untuk Ibrahim Ali melompat ke Chempaka dan pertahankan air mukanya sebagai gergasi Pasir Mas yang terlentang tumbang di tangan anak muda dari Chempaka. Itulah tindakan sewajarnya dari seorang yang mengangkat dirinya sebagai wira. – Pokku Bayae

Tulisan ini adalah pandangan peribadi pengarang, ia tidak semestinya mewakili pandangan Sokmo.Net. Sebarang pandangan/artikel balas boleh dihantar ke admin@sokmo.net. Terima kasih.