Apa Itu Hudud Sebenarnya – Johari

PETALING JAYA – Rentetan Pertikaian isu hudud membabitkan PAS dan DAP kini turut menggambarkan ‘kejahilan’ Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung hukum Islam.

Kenyataan Ketua Whip Ahli Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul yang meminta PAS menjelaskan perkara itu jelas menunjukkan beliau tidak memahami hukum Islam yang diperjuangkan sekutunya PAS.

Buat pertama kali reaksi PKR sejak polemik perbalahan PAS dan DAP dalam isu berkenaan beliau tiba-tiba muncul mendesak PAS menjelaskan beberapa perkara berhubung pembentangan enakmen berkaitan hudud yang bakal dilaksanakan di Kelantan.

Sambil mendakwa PAS terus berdegil untuk membentang usul tersebut (hudud) beliau berkata, ramai pihak yang masih keliru mengenai pelaksanaan hukum tersebut.

“Selama ini kami tidak pernah berikan sebarang komen, tapi hari ini kita tuntut PAS jelaskan perkara-perkara yang mengelirukan ramai pihak mengenai hukum tersebut.

“Saya sendiri pun tidak pasti mengenai pembentangan tersebut. Saya rasakan PAS harus lantik pegawai rasmi yang akan urus penjelasan mengenai hukum hudud kepada orang ramai khususnya masyarakat bukan Muslim di negara ini,” katanya ditemui media di sini, hari ini.

Menjawab pendirian PKR dalam isu tersebut Johari berkata, pihaknya masih belum pasti mengenai pelaksanaan hukum berkenaan yang akan dilaksanakan di Kelantan.

“Kami tak mahu berikan apa-apa ulasan setakat ini. Kami mahu tahu dulu apa itu hudud sebenarnya. Kalau sudah tahu secara menyeluruh baru kami boleh berikan komen,” jelasnya