Ibu 26 Tahun Mati Akibat Dikelar

GUA MUSANG – Seorang ibu beranak tiga maut akibat dikelar oleh penjenayah yang dipercayai cuba menyamun rumahnya di Kampung Batu Papan, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi Ahad itu mangsa, Yashmin Fauzi, 26, ditemui terbaring dengan berlumuran darah oleh suaminya, Mohd. Azrul Isahak, 30, di atas jalan di hadapan rumahnya.

Mohd. Azrul, seorang anggota sukarelawan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang memberitahu, sewaktu kejadian dia sedang bertugas, berasa tidak sedap hati dan meminta izin untuk pulang menjenguk keluarganya.

“Sampai di jalan hadapan rumah saya terkejut melihat isteri menggelupur diselimuti kain selimut yang berlumuran darah.

“Saya kemudian membawa isteri ke Hospital Gua Musang sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.40 pagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, mangsa dipercayai sedang tidur semasa rumahnya diceroboh masuk oleh beberapa orang sebelum leher mangsa dikelar.

Katanya, motif kejadian sedang disiasat selain mengesyaki ia bermotifkan samun.

“Siasatan awal juga mendapati terdapat tompokan darah dalam bilik tidur mangsa dan dipercayai berlaku pembunuhan di situ. Suspek dipercayai mengusung keluar mangsa kerana menganggap mangsa sudah meninggal dunia.

“Kita juga dimaklumkan ketika suami mangsa pulang, mangsa masih bernyawa dan sempat menceritakan kejadian yang menimpanya sebelum dia dikejarkan ke hospital,” katanya.