Tidak Perlu Pedulikan Tohmahan Musuh – Alwi

KOTA BHARU – UMNO Kelantan tidak akan mempedulikan tohmahan termasuk kononnya parti itu penakut kerana memilih untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka Mac ini.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai prinsip sendiri dan ia tidak perlu mengikut rentak musuh.

“Tak perlu peduli apa orang hendak kata takut atau sebagainya kerana kita (UMNO) mempunyai prinsip sendiri.

“Sehandal mana pun seorang pendekar dalam ilmu persilatan namun langkahnya tidak selalu ke hadapan, ada masa dia perlu mundur belakang kerana apa, kerana itu strategi dia,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Agropreneur Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Peringkat Jajahan Kota Bharu Selatan di sini semalam.

Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menyifatkan, UMNO tidak berani berdepan ‘musuh tradisi’ apabila memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada PRK berkenaan.

Mengulas lanjut, Md. Alwi yang juga Setiausaha BN negeri berkata, Husam boleh mengkritik apa sahaja bagi melepaskan rasa ‘syok sendirinya’ tetapi ia tidak mewakili suara Pas negeri.

Tegasnya, masalah takut tidak timbul sebaliknya soal kepentingan rakyat harus menjadi keutamaan terutama dalam situasi sekarang ini ribuan rakyat terjejas akibat musibah banjir yang melanda negeri ini akhir tahun lalu.

“Dalam sejarah Rasulullah, sebelum berlakunya perjanjian Hudaibiyah Rasulullah berjanji hendak pergi menunaikan haji tetapi apabila sampai di Mekah orang kafir tak bagi.

“Kemudian berlaku perjanjian Hudaibiyah. Adakah Rasulullah boleh dianggap penakut apabila terpaksa tangguh untuk mengerjakan haji,” soalnya.

Sementara itu, dalam isu sama beliau turut membidas Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, tidak mempunyai haluan sebenar dalam perjuangannya.

“Persoalannya, kenapa dia (Ibrahim) tidak bising semasa UMNO tidak bertanding Parlimen Pasir Mas pada Pilihan Raya Umum lalu.

“Tetapi tiba-tiba bising pula dengan macam-macam tuduhan apabila UMNO mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam PRK DUN Chempaka ini,” katanya.