Kelantan Negeri Terburuk Jaga Hutan – SAM

KUALA LUMPUR – Seorang penyelidik lapangan Sahabat Alam Sekitar (SAM) mendakwa negeri Kelantan dikenal pasti sebagai negeri paling teruk dalam penjagaan hutan di Malaysia.

Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, keluasan hutan simpan kekal yang ditebang untuk dijadikan hutan ladang di negeri itu adalah paling terbesar di negara ini.

Katanya, berdasarkan rekod Jabatan Perhutanan negeri, sebanyak 41 lesen konsesi pembalakan diluluskan dalam hutan simpan kekal di jajahan Kelantan Selatan meliputi jajahan kecil Gua Musang dan Lojing.

“Jadi, bagaimana Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yaakob) boleh menyatakan pemberian lesen dibekukan pada 2006 apabila masih ada lesen diluluskan pada tahun lepas?” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Forum Media Khazanah Alam Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) – Institut Akhbar Malaysia (MPI) 2015 di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembalakan dan penerokaan hutan tersebut merupakan antara faktor terbesar penyumbang kejadian banjir luar biasa di negeri itu akhir tahun lalu.

Jelasnya, Kelantan mengamalkan konsep hutan ladang di mana melalui konsep itu, semua pokok ditebang sehingga gondol untuk ditanam dengan tanaman seperti getah dan kelapa sawit.

“Ini menyebabkan tanah di kawasan itu tidak mampu menampung air hujan dan akhirnya mengakibatkan banjir,” katanya.

Menurutnya, Sabah dan Selangor merupakan negeri terbaik dalam penjagaan hutan.

“Sabah mengamalkan pembalakan mampan manakala, Selangor tidak membenarkan sebarang pembangunan di kawasan hutan simpan kekalnya,” ujarnya.