Nota Bantu Polis Tahan Suspek Bunuh Yashmin

KOTA BHARU – Nota mangsa bunuh telah membantu Polis menahan seorang suspek kes bunuh di Kampung Batu Papan, Gua Musang kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, berdasarkan nota tersebut, pihak polis berjaya menjejaki suspek yang tinggal di kampung bersebelahan dan dikenali kebanyakan penduduk di situ.

Menurutnya, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau ditahan di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Tanah Putih petang semalam.

“Tangkapan dibuat dalam masa 12 jam dari masa kejadian selepas polis mendapat satu nota yang sempat ditulis mangsa di hospital sebelum dia meninggal dunia,” katanya.

Mangsa dikatakan sempat menulis nota tersebut semasa dirawat di Hospital Gua Musang.

Mazlan berkata, suspek tidak bekerja dan positif dadah turut disyaki mengambil wang sebanyak RM250 daripada mangsa sebelum melarikan diri.

Menurutnya, suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 8 Mac.

Beliau berkata, dengan penahanan suspek berusia 22 tahun itu, ia dapat menyelesaikan kes pembunuhan tersebut.

Mangsa Yashmin Fauzi, 26, ditemui suaminya dalam keadaan separuh sedar di jalan hadapan rumahnya kira-kira 2.30 pagi semalam dengan berlumuran darah dipercayai akibat dikelar di bahagian leher.

Sementara itu, di Gua Musang, keluarga mangsa redha dengan kematian Yashmin namun, amat kesal dengan sikap kejam penjenayah yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan itu.

Katanya, tindakan kejam penjenayah melibatkan nyawa orang tidak berdosa itu tidak berpadanan berbanding dengan apa yang didapati hasil dari rompakan atau samun tersebut.

Isahak memberitahu, berikutan kejadian tersebut, tiga cucunya (anak mangsa) yang berusia enam bulan hingga lima tahun kini tinggal bersamanya.

“Mereka dan ayahnya (Mohd. Azrul) akan tinggal bersama saya buat sementara waktu,” katanya.