1,497 Pengundi Awal PRK DUN Chempaka Mengundi Hari ini

PENGKALAN CHEPA – Seramai 1,497 pengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka akan menyempurnakan tanggungjawab masing-masing, hari ini.

Tiga saluran mengundi akan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang di Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Kem Pengkalan Chepa, dekat sini.image

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan pasangan mereka.

“Daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK ini ialah Daftar Pemilih Induk 2013 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga 2014 yang telah dikemas kini sehingga 12 Februari 2015.

“Daftar pemilih ini mengandungi 21,890 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 20,390 orang pengundi biasa, 1,497 orang pengundi awal dan tiga orang pengundi tidak hadir luar negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.

Abdul Ghani berkata, kertas-kertas undi tidak akan dikira di lokasi mengundi tetapi akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap polis.

“Kertas-kertas undi hanya akan dikira pada pukul 4 petang semasa hari pengundian biasa. Pengiraan kertas undi akan dijalankan secara berkelompok di tempat-tempat pengiraan undi dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon,” katanya.