162,000 Hektar Kawasan Hutan Simpan Kekal Diteroka

KOTA BHARU – Sebanyak 162,000 hektar kawasan hutan simpan kekal di negeri ini terutama di kawasan hulu Kelantan telah dibangunkan secara sah dengan kelulusan Kerajaan PAS Kelantan untuk pelbagai program pertanian dan pembalakan.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada kira-kira 600,000 hektar hutan simpan yang terdapat di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang memberikan ‘angka-angka’ tersebut ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini bagaimanapun menafikan bahawa penerokaan tanah menjadi punca banjir besar berlaku di negeri ini.

Beliau mendakwa banjir besar yang berlaku adalah disebabkan hujan yang terlalu lebat sehingga menyebabkan air mengalir terus ke sungai dan melimpah ke daratan terutama di hilir negeri ini.

Bagaimanapun kenyataan Ahmad itu bertentangan dengan kajian yang dilakukan oleh Dekan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Abd. Hamid Mar Iman.

Abd. Hamid berkata, hasil kajian yang dilakukannya mendapati kawasan tadahan hutan yang luas boleh mengurangkan limpahan air banjir yang besar ke hilir negeri sebagaimana terjadi di Kelantan baru-baru ini.

“Kawasan hutan yang kita musnahkan untuk pembangunan, pertanian atau tujuan lain ini akan menyebabkan ruang bagi air bertakung berkurangan sedangkan hutan fungsinya mengekalkan ekosistem, mengekalkan suhu dan menebat aliran air ke kawasan lain.

“Kalau kita nak kurangkan limpahan air banjir, kita kena besarkan kawasan tadahan air supaya air tidak lari ke mana-mana, kalau kita ada empangan misalnya yang boleh menakung air, ini juga boleh kurangkan risiko banjir.

“Maka disebabkan hujan lebat luar biasa dan permukaan tanah yang tidak menyerap air telah berlaku limpahan air di hilir negeri ini dengan teruk,” katanya.

Justeru, beliau menggesa Kerajaan PAS Kelantan supaya kawasan hutan tadahan air perlu diperluas dan dilindungi bukan sahaja bagi menjamin bekalan sumber air bersih berterusan malah mengurangkan risiko terjadinya banjir besar.

“Pemuliharaan kawasan hutan amat penting kerana ini adalah komponen ekosistem asas mendapat air bersih selain memastikan litupan permukaan kekal untuk mengelak hakisan tanah,” katanya.