ADUN PAS Minta Kawasan Hutan Simpan Diguna Untuk Pembangunan

KOTA BHARU – Setelah sebahagian besar muka bumi di kawasan Kelantan Selatan ditarah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong, Zulkifli Mamat seperti belum cukup puas apabila meminta Kerajaan PAS Kelantan menggunakan kawasan hutan simpan di negeri ini untuk pembangunan.

Beliau yang juga Setiausaha PAS Kelantan berkata, hutan simpan yang membentuk kira-kira 60 peratus daripada muka bumi negeri ini perlu ditebus guna untuk pembangunan demi menambahkan pendapatan rakyat.

“Tidak ada negara di dunia yang masih mengekalkan hutan simpan sebegini banyak dan terlalu lama kecuali hutan ini memberikan pulangan seperti ‘karbon kredit’.

“Kita harus membangunkan kawasan ini untuk ekonomi negeri dan rakyat kerana kita sudah tidak ada kawasan untuk dibangunkan.

“Atas kebijaksanaan kerajaan negeri mencari kawasan tadahan air dalam kawasan hutan simpan terus dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darul Naim di sini, pada Selasa.

Ketika membahaskan ucapan tersebut beliau turut mengkritik cara Kerajaan PAS Kelantan mentadbir negeri ini terutama dalam urusan untuk menambahkan pendapatan negeri ini.

Dalam pada itu, Zulkifli enggan menjawab soalan ADUN Nenggiri, Md Yusof Abd Ghani dari Barisan Nasional (BN) yang bertanya: “Apakah Pulai Chondong tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri?”