Hudud: Gerakan Fail Saman PAS kelantan

KOTA BHARU – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akhirnya mengheret PAS Kelantan ke mahkamah apabila memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993.

Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong berkata, permohonan itu merupakan langkah awal untuk menghalang pembentangan rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk meminda Perkara 76 (A) (1) Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa kepada Kelantan melaksanakan hudud.

“Kerajaan negeri memulakan langkah pertama dengan membentangkan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 pindaan hari ini, sehubungan itu kami juga turut mengambil langkah pertama untuk membawa perkara ini ke mahkamah.

“Kami akan menyerahkan saman pemula ini kepada pihak defendan di Pejabat Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Saman pemula itu difailkan oleh tiga ahli Gerakan Kelantan, Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee serta Chun Mon Sie melalui firma guaman, Tetuan N. S. Leong dan S. T. Low kira-kira pukul 10 pagi ini di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Tiga plaintif berkenaan menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai defendan.

Dalam saman tersebut, mereka memohon pengisytiharan mengikut Artikel 76 dan 76 (A) Perlembagaan Persekutuan bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 adalah batal dan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang bakal diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah kerana bertentangan dengan Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Antara alasan dikemukakan plaintif bagi permohonan itu adalah, DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang undang-undang.

Selain itu, Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 adalah ultra vires (melampaui batasan undang-undang), tidak sah serta tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.