Hudud: Tiga Perkara Kontroversi Digugurkan

KOTA BHARU – Tiga perkara utama yang menjadi kontroversi dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 digugurkan ketika pembentangan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015, hari ini.

Tiga perkara tersebut ialah pilihan kepada bukan Islam untuk memakai hukum Allah itu, kesalahan liwat dengan isteri dimasukkan di bawah takzir dan wanita yang belum berkahwin hamil dan melahirkan anak tidak dijadikan bukti untuk disabitkan dengan kesalahan zina.

Dengan pembentangan rang undang-undang tersebut, hukum hudud, qisas dan takzir hanya khusus untuk umat Islam yang melakukan kesalahan di negeri ini manakala takrif liwat digugurkan perkataan ‘selain daripadanya isteri’.

Takrifan liwat diperkemaskan, iaitu lelaki bersetubuh dengan lelaki atau lelaki bersetubuh melalui dubur wanita. Lelaki yang meliwat isteri hendaklah dihukum takzir.

Keterangan qarinah – yang membabitkan wanita yang belum berkahwin mengandung dan melahirkan anak dimansuhkan.

Pindaan itu turut menggugurkan kesalahan lesbian, melakukan seks dengan mayat dan haiwan.

Pindaan enakmen setebal 47 muka surat itu menyentuh tentang kesalahan jenayah syariah hudud, qisas dan takzir dan ia hanya terpakai untuk orang Islam yang mukalaf di Kelantan.

Jenis kesalahan hudud yang termaktub dalam pindaan hari ini ialah sariqah (mencuri), hirabah (merampas harta orang lain dengan kekerasan), zina dan liwat, qazaf (tuduhan zina atau liwat), syurb (meminum arak) dan irtidad (murtad).

ENAM KESALAHAN DI BAWAH UNDANG-UNDANG HUDUD:

(1) SARIQAH (MENCURI):

Perbuatan memindah dengan cara sembunyi harta alih daripada jagaan atau milikan tuannya tanpa persetujuan tuannya yang mana perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menghilangkan harta itu daripada jagaan atau milikan tuannya.

Hukuman:
a) Kesalahan pertama: Potong tangan kanan.
b) Kesalahan kedua: Potong kaki kiri
c) Kesalahan ketiga dan berikutnya: Penjara tidak lebih 15 tahun.
* Hukuman hudud bagi kesalahan sariqah tidak boleh dikenakan dalam 15 keadaan.

(2) HIRABAH (MEROMPAK):

Perbuatan melakukan kekerasan untuk merampas harta orang lain dengan salah, atau dengan ugutan yang dilakukan seseorang atau sekumpulan orang.

Hukuman:
a) Dihukum bunuh dan selepas itu disalib jika mangsa kesalahan itu dibunuh dan hartanya atau harta orang lain diambil.
b) Dihukum bunuh sahaja, jika mangsa kesalahan itu dibunuh tetapi tidak ada apa-apa harta yang telah diambil.
c) Dihukum potong tangan kanan dan kaki kiri, jika harta sahaja diambil dengan tidak menyebabkan kematian mangsa dan mencederakannya tetapi sekiranya harta-harta diambil dan kecederaan dilakukan ke atas mangsanya maka diyat atau irsy hendaklah dibayar sebagai tambahan kepada hukuman potong tangan dan kaki.
d) Dipenjarakan tidak lebih lima tahun sekiranya ugutan sahaja digunakan dengan tidak mengambil apa-apa harta atau tidak menyebabkan kecederaan.

(3) ZINA (PERSETUBUHAN HARAM):

i. Persetubuhan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang bukan pasangan suami isteri dan persetubuhan tidak termasuk dalam takrif wati syubhah.
ii. Jika pesalah itu sudah berkahwin dengan sah dan telah menikmati persetubuhan dalam perkahwinan maka pesalah itu dinamakan mohsan tetapi apabila pesalah itu belum berkahwin atau sudah berkahwin tetapi belum merasai nikmat persetubuhan maka pesalah itu dinamakan ghairu mohsan.
iii. Wati syubhah ialah persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan yang bukan isterinya dan persetubuhan itu dilakukan:
(a) Dalam keadaan yang meragukan, dalam mana dia menyangka bahawa perempuan yang disetubuhinya ialah isterinya sedangkan perempuan itu bukan isterinya; atau
(b) Dalam keadaan yang meragukan, dalam mana dia menyangka bahawa perkahwinannya dengan perempuan yang disetubuhi olehnya mengikut hukum syarak, sedangkan hakikatnya perkahwinanya itu tidak sah.

Hukuman:
a) Pesalah mohsan: Dihukum rejam, iaitu dilontar dengan batu yang sederhana besarnya sehingga mati.
b) Pesalah ghairu mohsan: Dihukum sebat 100 kali dan sebagai tambahan dipenjara selama setahun.

(4) QAZAF (TUDUHAN ZINA):

Membuat tuduhan zina yang tidak dibuktikan oleh empat orang saksi terhadap seseorang Islam yang akil baligh dan dikenali sebagai seorang yang bersih diri daripada kelakuan zina.

Hukuman:
Sebatan 80 kali dan keterangannya sebagai saksi tidak boleh diterima lagi sehinga dia bertaubat atas perbuatannya itu.

(5) SYURB (MINUM ARAK ATAU MINUMAN MEMABUKKAN):

Kesalahan minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan dan sesiapa yang melakukan kesalahan ini sama ada dia mabuk atau tidak, tanpa mengira kuantiti yang diminumnya.

Hukuman:
Disebat tidak lebih 80 kali dan tidak kurang daripada 40 sebatan.

(6) IRTIDAD ATAU RIDDAH (KELUAR ISLAM):

Apa-apa perbuatan atau perkataan yang disebutkan oleh seorang Islam yang mukallaf yang mana perbuatan atau perkataan itu mengikut hukum syarak adalah menjejaskan atau berlawanan dengan aqidah Islam.

Hukuman:
a) Sebelum hukuman dijatuhkan, pesalah dikehendaki oleh mahkamah supaya bertaubat dalam tempoh tiga hari setelah didapati bersalah.
b) Setelah tiga hari dia enggan bertaubat dan masih lagi berterusan dengan pendiriannya atau perkataan yang disebutkan itu, maka mahkamah hendaklah menjatuhkan hukuman bunuh dan hartanya diserahkan kepada baitulmal.