PAS Bentang Pindaan Enakmen Hudud, Kedudukannya Menjadi Persoalan

KOTA BHARU – Datuk Ahmad Yakob hari ini membentangkan pindaan enakmen Kanun Syariah II pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Menteri Besar Kelantan itu mengambil masa kira-kira 40 minit bermula pukul 11 pagi untuk membentangkan pindaan enakmen tersebut.

Pembentangan enakmen berkaitan hudud ini dibuat setelah melalui polemik berpanjangan apabila ia terus dipertikaikan sekutunya DAP.

Antara kandungan yang dipinda adalah kanunnya hanya terpakai kepada orang Islam yang melakukan kesalahan di negeri Kelantan.

Kesemua 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Kerajaan dan Pembangkang akan membahas perkara itu dan ia dijangka akan diluluskan petang ini.

Rang undang-undang ini akan digelar sebagai Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 setelah ia diluluskan nanti.

Turut kelihatan hadir menyaksikan pembentangan itu ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Sebelum ini pakatan pembangkang membayangkan PAS tidak lagi sebahagian daripada pakatan pembangkang sekiranya parti itu membentangkan enakmen terbabit.

Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo berkata, hudud bukan sebahagian daripada rangka kerja dasar bersama pakatan pembangkang.

“Pembentangan rang undang-undang ini juga bertentangan dengan perjanjian yang dicapai dalam mesyuarat kepimpinan PR (pakatan rakyat) terakhir di mana dinyatakan dengan jelas perlu ada perbincangan lanjut di antara ketiga-tiga pihak sebelum langkah seterusnya diambil berhubung perkara itu,” kata Gobind.

Bagaimanapun kerajaan PAS Kelantan tetap bertegas akan membentangkan enakmen berkaitan hudud itu meskipun mendapat tentangan sekutunya.

Dan hari ini jelas, PAS dilihat begitu konsisten dengan prinsipnya sekali gus membayangkan parti itu sememangnya tidak mempedulikan tentangan, pertikaian atau desakan sekutunya.

Apapun, DUN Kelantan hari ini bakal menyaksikan satu keputusan yang barangkali agak berat di pihak pembangkang apabila pindaan rang undang-undang itu mendapat kelulusan dewan yang mulia nanti.

Persoalannya, apakah selepas ini PAS akan diisytihar tidak lagi menjadi sekutu pakatan terbabit setelah dikatakan bertindak melanggar polisi mereka.

Di luar sana, barangkali pastinya sudah ada yang menunggu akan kedudukan parti gerakan Islam itu lewat kedegilannya yang tetap membentangkan enakmen terbabit hari ini.