PRK DUN Chempaka: 530 Pengundi Awal Keluar Mengundi

KOTA BHARU – Pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Recil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka telah ditutup pada pukul 5 petang ini.

Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberitahu, jumlah keluar mengundi hanya 35.40 peratus atau 530 orang daripada 1,497 pengundi awal.

Pusat pembuangan undi diadakan di Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa di sini.

catatan itu tersasar jauh dari sasaran awal SPR pagi tadi yang mengharapkan peratusan keluar mengundi bagi pengundian awal PRK DUN tersebut mencecah 70 peratus.

Setakat pukul 10 pagi tadi 271 orang pengundi menunaikan tanggungjawab mereka dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 18.1 peratus.

PRK DUN Chempaka menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat Bebas.

PAS mempertaruhkan Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42, bagi mempertahankan DUN tersebut setelah ia berlaku kekosongan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat 12 Februari lepas.

Manakala empat calon bebas adalah bekas pensyarah, Izat Bukhary Ismail Bukhary (48), bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan, Sharif Mahmood (59), Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Fadzillah Hussin (55), dan pesara Kementerian Kesihatan Aslah Mamat, 64.

Seramai 20,390 orang pengundi biasa akan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian Ahad ini.