PRK DUN Chempaka: SPR Harap Pengundian Awal Cecah 70 Peratus

KOTA BHARU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengharapkan peratusan keluar mengundi bagi pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka mencecah 70 peratus.

Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Hashim Abdullah berkata, setakat pukul 10 pagi tadi, 271 orang pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 18.1 peratus.

“Pusat pengundian dibuka macam biasa sampai pukul 5 petang dan kita yakin pengundi yang terdiri daripada kaum wanita akan datang (mengundi) mungkin tengahari atau petang.

“Ini kerana waktu pagi mereka sibuk uruskan hal rumah dan anak-anak, kita harap pengundi dapat tunai tanggungjawab dan pihak tentera juga telah ambil pelbagai langkah untuk memastikan pengundi keluar mengundi,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa di sini.

Seramai 1,497 orang pemgundi layak mengundi awal pada PRK tersebut.

Sementara itu, beliau turut berharap, 20,390 orang pengundi biasa yang layak mengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian Ahad ini.

“Apa yang penting ialah orang keluar mengundi, kempen sahaja rancak tetapi tidak keluar mengundi, ia tidak boleh menterjemahkan apa sebenarnya kempen,” katanya.

Pusat pengundian awal itu dibuka pada pukul 8 pagi dan akan ditutup pada pukul 5 petang ini.

PRK DUN Chempaka menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat (calon) bebas.

PAS mempertaruhkan Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42, bagi mempertahankan DUN tersebut setelah ia berlaku kekosongan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat 12 Februari lepas.

Manakala empat calon bebas adalah bekas pensyarah, Izat Bukhary Ismail Bukhary (48), bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan, Sharif Mahmood (59), Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Fadzillah Hussin (55), dan pesara Kementerian Kesihatan Aslah Mamat, 64.

Tinjauan sokmo.net mendapati, kesemua calon yang bertanding hadir untuk meninjau proses pengundian awal hari ini.