UMNO Sokong Hudud Kerana Allah Bukan Politik – Alwi

KOTA BHARU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad, menyokong pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 berdasarkan ia adalah hukum Allah, bukannya politik.

Beliau berkata, undang-undang hudud melepasi batasan politik dan setiap umat Islam wajib menyokongnya.

“Saya sokong hudud kerana Allah. UMNO juga sokong (hudud) kerana Allah bukan politik,” katanya ketika membahaskan pindaan Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 di sidang DUN Kelantan hari ini.

Membahas lanjut, dengan nada sinis beliau menyelar sebahagian besar bukan Islam khususnya dari parti pembangkang yang berterusan mempertikaikan hukum Islam itu.

Katanya, hukum hudud yang akan dilaksanakan di Kelantan hanya terpakai ke atas orang Islam yang didapati bersalah melakukan jenayah sahaja.

“Kenapa perlu orang bukan Islam melatah dalam hal ini, pindaan yang dilakukan telah menyatakan undang-undang hudud ini hanya terpakai ke atas orang Islam.

“Yang bukan Islam sibuk sangat nak buat apa,” katanya.

Pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 dibentangkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob, hari ini.

Antara intipati utama pindaan itu adalah undang-undang tersebut hanya terpakai kepada orang Islam yang melakukan kesalahan di Kelantan.

Pindaan ini telah dibuat daripada peruntukkan asal yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam untuk memilih undang-undang itu ke atas mereka.

Perbahasan akan disambung esok selepas sidang DUN ditangguhkan kira-kira pukul 1 tengahari tadi.

Rang undang-undang tersebut akan digelar sebagai Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 selepas ia diluluskan nanti.

Kerajaan PAS Kelantan mempunyai peluang mudah bagi meluluskan enakmen tersebut apabila majoriti ADUN Kelantan adalah terdiri dari PAS seramai 32 orang, UMNO (12) dan (1) Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pindaan enakmen tersebut sepatutnya dibentang pada Disember tahun lalu tetapi, terpaksa ditangguhkan berikutan banjir besar yang melanda negeri ini sekitar bulan yang sama.