Ambiga Kata PAS Khianat Amanah Rakyat

KOTA BHARU – PAS mengkhianati amanah rakyat yang mengundi mereka melalui platform Pakatan Rakyat (PR), kata bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Kenyataan itu dibuat selepas parti Islam itu membentangkan rang undang-undang berkaitan hudud di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, semalam.

Memetik laporan sebuah portal, Ambiga berkata, terkejut dan kecewa dengan PAS yang dianggap telah melanggar polisi bersama pakatan pembangkang selain pengkhianatan terhadap pengundi PAS berdasarkan platform bersama dengan sekutu DAP dan PKR.

“Selepas ini, hampir mustahil bagi mereka mendapatkan semula kepercayaan itu,” katanya.

Beliau berkata, hudud bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana Malaysia adalah sebuah negara sekular justeru, rang undang-undang tersebut tidak sepatutnya dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Semalam, Kerajaan PAS Kelantan telah membentangkan pindaan enakmen Kanun Syariah II pada sidang DUN Kelantan dan perbahasan mengenainya bersambung hari ini sebelum ia diluluskan.

Rang undang-undang ini akan digelar sebagai Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 setelah ia diluluskan nanti.

Ketika membentangkan rang undang-undang itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, Kanun Keseksaan Islam tidak sepatutnya ditentang dengan menyifatnya sebagai kejam atau tidak berperikemanusian kerana ia adalah hukum Allah.

“Manusia tidak mempunyai hak untuk menolak atau mengubah undang-undang Syariah yang ditetapkan dalam Islam.

“Pemerintah Islam bertanggungjawab untuk melaksanakannya kerana ia boleh menyelesaikan apa-apa jenis jenayah yang berlaku di negara ini.‎

“Melaksanakan undang-undang jenayah Syariah juga bukanlah mengenai memelihara kuasa politik, seperti yang didakwa sesetengah pihak,” kata Ahmad.