Anak Perempuan PM Nikah Hari Ini

PUTRAJAYA – Anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, Nooryana Najwa, akan melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya Daniyar Kessikbayev, hari ini.

Jurucakap dan wakil keluarga perdana menteri bagi majlis pertunangan dan pernikahan, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, majlis akad nikah akan berlangsung pada hari ini (Khamis) di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di sini.

Menerusi satu kenyataan, Jamil Khir berkata, upacara akad nikah akan disempurnakan sendiri oleh Najib.

Nooryana Najwa, 27, menamatkan pengajian di Georgetown University, Washington pada 2011 dan kini berkhidmat dengan sebuah syarikat “Venture Capital”.

Beliau mengenali Daniyar, 27, yang berasal dari Kazakhstan ketika masing-masing menuntut di Amerika Syarikat.

Beliau berkata, majlis resepsi perkahwinan akan diadakan di Kuala Lumpur dan juga di Pekan, Pahang.

Tetamu kenamaan dijangka hadir ialah, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah; Raja-Raja Melayu; Yang Dipertua Negeri; menteri-menteri besar; ketua-ketua menteri; menteri-menteri Kabinet; timbalan-timbalan menteri; pegawai kanan kerajaan; ahli-ahli politik; ahli-ahli korporat dan pemimpin masyarakat.

Selain itu beberapa pembesar dan pemimpin dari luar negara juga dijangka hadir.