Gerakan Perlu Hormati Hak PAS

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, tindakan Kerajaan PAS Kelantan membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015) adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang perlu dihormati.

Merujuk kepada saman pemula yang difailkan oleh Gerakan beliau berkata, Gerakan perlu menghormati hak PAS Kelantan kerana tindakannya itu mewakili suara rakyat negeri itu.

“Itu hak Gerakan dan sesiapa sahaja boleh buat apa-apa tindakan tetapi akhirnya Gerakan mesti faham dari segi PAS adalah parti yang telah dipilih oleh rakyat dan disokong oleh ramai orang bukan Islam.

“Apabila PAS mendapat kuasa dan sokongan yang begitu besar termasuk orang bukan Islam, apabila PAS memperkenalkan undang-undang ini, maka mereka Gerakan sepatutnya menghormati,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Gerakan semalam memfailkan saman pemula bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pindaan 2015 yang dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, semalam.

Fail saman itu dibuat di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, di sini oleh tiga anggota parti berkenaan, iaitu Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chung Mon Sie melalui Tetuan N. S. Leong dan S. T. Low.

Fail saman itu menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai defendan.

Melalui saman itu, plaintif memohon pengisytiharan mengikut Artikel 76 dan 76 (A) Perlembagaan Persekutuan bagi perisytiharan bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 adalah batal dan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, suatu deklarasi bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 itu adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah, bertentangan dengan Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan.

DUN Kelantan hari ini sebulat suara meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pindaan 2015.