Hudud: Lesbian, Seks Dengan Mayat Dan Haiwan Tidak Terlepas

KOTA BHARU – Pengguguran Seksyen 19 hingga 21, iaitu perkara berkaitan lesbian, bersetubuh dengan mayat atau haiwan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 yang diluluskan hari ini tidak bermaksud perlakuan tersebut bukan satu kesalahan.

Ia tetap menjadi kesalahan besar dan dimasukkan dalam senarai kesalahan liwat iaitu kategori sama untuk perlakuan gay.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menjelaskan, hukuman untuk lesbian, bersetubuh dengan mayat dan haiwan tidak digugurkan sebagaimana dihebohkan dalam media sosial sebaliknya masih terkandung dalam enakmen tersebut.

“Kita tidak boleh sebut semua (lesbian, seks dengan mayat dan haiwan), benda itu semua masuk dalam liwat. Gugur perkataan bukan bermaksud tak jadi kesalahan, jangan faham seperti itu.

“Soalnya, hukuman liwat itu kekal (dalam enakmen), bila kekal, hukuman itu meliputi semua (perlakuan seks luar tabii). Gay, lesbian semua itu masuk dalam kesalahan liwat, itu sudah cukup,” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pengguguran Seksyen 19 hingga 21, iaitu lesbian, seks dengan mayat dan haiwan daripada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (2015) yang menyebabkan timbul salah faham mengatakan perlakuan songsang tersebut bukan satu kesalahan dalam hukum hudud.

Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah II dalam pada itu berkata, pihaknya sudah membuat persiapan rapi berkaitan prosedur pelaksanaan hukuman di bawah hudud meskipun undang-undang itu belum boleh dilaksanakan,

“Baru-baru ini kita telah kumpulkan para mufti, hakim syarie, pakar perubatan, perundangan, pihak penjara dan polis untuk kita bincang kaedah bagaimana nak laksanakan hukuman. Bagaimana merotan, nak potong tangan dan sebagainya, semua sudah sedia.

“Namun perkara ini embargo, saya akan dedahkan kemudian,” katanya.

Beliau turut memberitahu, Kerajaan PAS Kelantan bercadang untuk mewujudkan sebuah galeri di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEIK) bagi memberikan kefahaman kepada orang ramai bagaimana hukuman hudud dijalankan.

Mengenai isu hudud yang dibawa ke mahkamah oleh Gerakan semalam, Mohd. Amar memberitahu, pihaknya sedang menunggu arahan lanjut daripada mahkamah sebelum melakukan tindakan susulan.

“Kalau ada kes, kita lawan, kita pun ada peguam juga. Saya rasa perkara ini tidak jejaskan usaha PAS Kelantan sebab kita bukan hendak buat hudud besok,” katanya.