Hudud, Portal Pembangkang Hukum PAS Angkuh Dan Jahil

KUALA LUMPUR – PAS dituduh angkuh dan jahil kerana berdegil untuk melaksanakan hukum hudud dan pengundi di negara ini digesa menghukum PAS.

Demikian reaksi The Malaysian Insider (TMI) sebaik Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan pindaan terhadap enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 atau lebih popular dengan gelaran ‘hukum hudud’.

Di dalam artikel bertajuk, ‘Dalam PAS, satu pelajaran keangkuhan dan kejahilan’ oleh Jahabar Sadiq, TMI dengan gasar memanggil PAS sebagai ‘angkuh’ dan ‘jahil’.

Jahabar Sadiq (gambar fail)
Jahabar Sadiq (gambar fail)

“Ia kehilangan Terengganu dan Kedah hanya selepas satu penggal, kerana memberi tumpuan kepada cara pentadbiran Islam yang terlalu ketat dan keperluan hukuman jenayah syariah tanpa menghiraukan apa yang sebenarnya dikehendaki oleh pengundi – iaitu pentadbiran yang adil dan bersih”.

“Sama juga keadaannya di Kelantan, negeri itu berjaya dipertahankan oleh PAS hanya disebabkan oleh personaliti Datuk Nik Abdul Aziz, bukan kerana ia mempunyai atau menguatkuasakan undang-undang hudud”.

“Tetapi Nik Aziz sudah mati. Dan apa yang PAS tahu hanyalah undang-undang hudud, undang-undang yang mereka dengan angkuh percaya akan akan bawa kebaikan untuk Kelantan dan negara,” tulis Jahabar.

Menurut TMI lagi, adalah salah jika PAS fikir pengundi akan memberi mereka lebih undi kerana PAS mempunyai cukup saksi dan cukup batu untuk menakutkan pembunuh, perompak, pembunuh dan penzina.

Sebaliknya, untuk menumpaskan Barisan Nasional, PAS perlu buktikan mereka boleh menawarkan kehidupan yang lebih baik dari segi ekonomi, sosial dan rohani.

PAS juga di dakwa angkuh kerana berfikir bahawa undang-undang hudud akan menjadi penawar bagi penyakit sosial yang membelenggu masyarakat. Sebaliknya, perlaksanaan undang-undang itu hanya akan menghukum lagi mereka yang sudah ketinggalan dari segi kehidupan di Kelantan.

“Ini keangkuhan PAS yang perlu dihukum oleh rakyat Malaysia di setiap peringkat – negeri dan parlimen. Dan hukuman ini juga mesti dikenakan terhadap mereka yang mendakwa diri sebagai sederhana tetapi masih mahu berpayung di bawah parti itu”.

TMI juga menyerang golongan ‘sederhana’ di dalam PAS,

“Jika mereka yang mendakwa diri sederhana ini tidak bersuara, maka mereka adalah sebahagian daripada PAS yang hanya mahu menjadi polis moral kepada orang ramai, bukannya mentadbir negara dan memastikan tidak ada kemiskinan”.

Serangan portal pro pembangkang sudah tidak berlapik lagi. Ia adalah gambaran suara-suara marah penyokong pembangkang terhadap pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan yang membentangkan pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Dewan Negeri0155Pembukaan P3

Pindaan itu telah diluluskan sebulat suara oleh Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan yang terdiri daripada Yang Berhormat PAS, UMNO dan PKR. Kerajaan Negeri Kelantan akan membentangkan ‘private bill’ di Parlimen bagi meminda undang-undang persekutuan untuk membolehkan hukuman-hukuman di dalam kanun jenayah syariah itu dilaksanakan di Kelantan.