Hudud, DUN Kelantan Lulus Sebulat Suara

KOTA BHARU – (Dikemaskini) Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini sebulat suara meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015.

Wakil pembangkang (Barisan Nasional), Datuk Md. Alwi Che Ahmad (BN – Kok Lanas) antara lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengambil bahagian dalam perbahasan  menyokong penuh pindaan hukum hudud, qisas dan takzir tersebut.

Enakmen itu dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan disokong oleh timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pada sidang pagi semalam.

Namun kelulusan itu bukan bermakna undang-undang tersebut dapat  terus dilaksanakan tetapi ia masih memerlukan pindaan Akta dan Perlembagaan Negara di Parlimen.

Bagaimanapun peluang untuk melaksanakan hukum Islam itu agak cerah apabila Kerajaan Pusat turut memberikan kerjasama dengan penubuhan jawatankuasa teknikal di peringkat pusat.

Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) diluluskan pada 25 November 1993.

Pembentangan rang undang-undang berkaitan hudud kali ini dibuat ketika polemik pertikaian mengenainya khasnya daripada DAP masih berlarutan.

Sementara itu, ADUN Salor, Datuk Husam Musa  dalam sesi perbahasannya meminta, pihak berkaitan menggunakan pendekatan penerangan dan bukan serangan bagi memastikan pelaksanaan enakmen tersebut dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Husam berkata, dalam peringkat terakhir sebelum perlaksanaan dilakukan aspek pertimbangan politik perlu diambil perhatian.
“Saya yakin setiap mereka yang mengundi PAS berkali-kali mahu enakmen ini diangkat dengan cermat, bijaksana dan akhirnya berjaya dilaksanakan.
“Bukan semata-mata cabar-mencabar melebihi keperluan sebenar. Semangat permuafakatan lebih memudahkan laluan berbanding menonjolkan keangkuhan,”katanya.