Mungkin Hadi Bentang Rang Undang-undang Persendirian Di Dewan Rakyat

KOTA BHARU – PAS akan membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Parlimen secepat mungkin bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri ini.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS Pusat belum memutuskan Ahli Parlimennya yang akan membentangkan rang undang-undang itu.

Bagaimanapun katanya, ia berkemungkinan boleh dilakukan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri.

“Kerajaan Kelantan mahu rang undang-undang persendirian dibawa ke Dewan Rakyat secepat mungkin, masa masih ada kerana sesi sidang Dewan Rakyat sekarang akan berakhir pada 9 April,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

DUN Kelantan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).

Takiyuddin yang juga pengamal undang-undang berkata, PAS Pusat akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat bagi memutuskan tarikh dan ahli parlimen yang akan membentangkan rang undang-undang persendirian itu.

Beliau berkata, melalui rang undang-undang persendirian itu dua perkara akan dibuat pindaan iaitu Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Pindaan Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa kepada negeri melaksanakan kanun jenayah syariah itu manakala, pindaan kepada Akta 355, berkaitan dengan bidang kuasa mahkamah syariah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berharap, kesemua 132 ahli parlimen beragama Islam akan menyokong kedua-dua pindaan itu pada persidangan Dewan Rakyat nanti.