PAS Degil, Tidak Hormati Pakatan Pembangkang – PKR

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal dengan tindakan PAS Kelantan yang membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).

Sambil menyifatkan ia satu ‘kedegilan’, tindakan PAS itu juga jelas menunjukkan parti itu tidak menghormati persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang pada 8 Februari lalu.

Pindaan enakmen tersebut telah diluluskan dengan sebulat suara pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.

Melalui kenyataan bersama pimpinan tertinggi PKR yang dikeluarkan hari ini berkata, tindakan tersebut sekali gus bertentangan dengan muafakat bersama yang dicapai pada 2011 mengenai perkara itu.

“Sedang PKR menghormati hak dan pendirian kerajaan Kelantan untuk membentangkan enakmen ini, adalah lebih afdal jika kerajaan Kelantan juga menghormati persetujuan yang dibuatnya sebelum ini di peringkat pakatan rakyat,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali; tiga Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar, Shamsul Iskandar Md. Akin dan Rafizi Ramli; Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin serta Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Enakmen terbabit dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan disokong oleh timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pada sidang DUN Kelantan, pagi semalam.

Menurut kenyataan itu lagi, pada mesyuarat 8 Februari lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah memaklumkan, rang undang-undang yang bakal dibentangkan membabitkan pindaan empat perkara ke atas enakmen yang telah diluluskan pada 1993.

“Walau bagaimanapun, PKR tidak diberikan draf pindaan sehinggalah minggu lepas iaitu pada 12 Mac 2015 (seminggu sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri),” katanya.