PAS Mungkin Tidak Sempat Bentang Rang Undang-undang Persendirian Bagi Sesi Kali Ini

KUALA LUMPUR – PAS mungkin tidak berkesempatan untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi sesi yang sedang berlangsung, kata Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, berdasarkan aturan mesyuarat pada sesi persidangan kali ini, rang undang-undang persendirian itu tiada dalam senarai usul.

“Mungkin tidak sempat sebab jadual sudah penuh.

“Pada 9 April ini Parlimen sudah habis bersidang. Tapi macam mana pun kita tengok senarai, dalam senarai tiada.

“Bagaimanapun perkara itu perlu dirujuk kepada Speaker Dewan Rakyat,” kata Shahidan ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini sebulat suara meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).

Mesyuarat pertama penggal ke-13 Parlimen kali ini bermula 9 Mac lalu dan akan berakhir 9 April hadapan.

Dewan Rakyat akan bersidang semula bermula 18 Mei hingga 18 Jun depan.