PKR Siasat, Roslan Serah Orang Ramai Nilai Sokongannya

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) Guchil, Roslan Puteh yang dikatakan turut menyokong bagi meluluskan Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Pindaan 2015) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bakal berdepan siasatan parti itu.

Beliau akan disiasat sama ada mematuhi arahan parti atau sebaliknya ketika DUN Kelantan membentangkan enakmen tersebut.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, PKR sebelum ini telah mengarahkan Roslan agar tidak menyertai atau berada pada sesi pembentangan usul hudud yang diluluskan hari ini.

“Arahan sudah dikeluarkan agar ADUN kami di sana (Dun Kelantan) tidak berada atau menyertai sesi pembentangan usul Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah.

“Bagaimanapun kita akan siasat sama ada benar beliau berada di sana atau tidak,” katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen, hari ini.

Roslan merupakan calon tunggal PKR dalam DUN Kelantan.

Sementara itu, Roslan menyerahkan kepada orang ramai bagi menilai sokongannya terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan.

“Terpulang pada persepsi macam mana kamu tengok tadi.

“Parti arahkan saya untuk tidak mengeluarkan sebarang komen,” katanya ringkas.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab pandangan peribadi mengenai sokongannya terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan dengan berkata “Tak apa. Terima kasih”.

Dalam pada itu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook mengecam tindakan PAS yang melanggar konsensus nasional pakatan pembangkang dengan meluluskan hukum hudud di Kelantan hari ini.

Beliau berkata, pakatan pembangkang akan bermesyuarat pada Isnin ini bagi menentukan proses tindakan lanjut berhubung konflik yang berlaku dalam gabungan sekutu pembangkang itu.

DUN Kelantan hari ini sebulat suara meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).