UMNO Konsisten Sokong Hudud

KOTA BHARU – UMNO Kelantan menyatakan komitmennya untuk terus konsisten menyokong usaha PAS membawa rang undang-undang persendirian ke Parlimen bagi membolehkan hudud dikuatkuasakan di negeri ini secepat mungkin.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, selain tidak pernah menolak hudud, UMNO menyokong usaha PAS kerana telah diberi jaminan bahawa setiap kelemahan yang terdapat dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 diambil kira untuk pindaan.

“UMNO dicop sebagai murtad kerana tidak sokong hudud. Itu antara tuduhan pernah dilemparkan kepada UMNO sedangkan yang kita tentang itu ‘hudud PAS’ kerana kita dapati ada kelemahan dalam enakmen tersebut dan kelemahan ini diakui kerajaan negeri sehingga dipinda hari ini.

“Kita perlu konsisten (menyokong hudud), itu pendirian UMNO Kelantan. Orang Kelantan majoritinya Islam, dan hudud itu kehendak orang Kelantan. Ini sesuai dengan demokrasi dan hari ini ia telah dipersetujui PAS dan UMNO. Perkara ini perlu dihormati,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 yang diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini menyaksikan usaha Kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di negeri ini bakal memasuki fasa baharu yang lebih mencabar.

Mustapa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, selepas pindaan tersebut diluluskan, terdapat tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian segera sebelum PAS membentangkan rang undang-undang persendirian mengenainya di Dewan Rakyat.

Katanya, tiga perkara itu antaranya ialah berusaha menghapuskan atau setidak-tidaknya mengurangkan perasaan takut atau bimbang dalam kalangan rakyat, sama ada orang Islam atau bukan Islam terhadap hukum hudud.

“Perkara kedua, membuat persiapan rapi untuk melaksanakan undang-undang tersebut seperti menyediakan infrastruktur bersesuaian dan menyelesaikan isu-isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan lain-lain.

“Seterusnya, selesaikan isu berkaitan keadilan kerana kini timbul kebimbangan banyak pihak sama ada tangan-tangan manusia yang melaksanakan undang-undang Islam ini boleh berlaku adil atau tidak. Kita perlu memastikan keadilan ditegakkan dan tidak ada penganiayaan,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Ayer Lanas berkata, kurang kefahaman mengenai hudud menyebabkan rakyat, termasuk orang Islam sendiri memberi tanggapan negatif seperti menyangka undang-undang Islam itu zalim serta tidak sesuai dilaksanakan pada zaman moden.

Sehubungan itu katanya, langkah mengadakan lebih banyak penerangan dan dakwah amat penting supaya rakyat memahami keadaan sebenar sekali gus mengurangkan atau menghapuskan terus ketakutan tanpa sebab mereka terhadap hudud.

Mengulas mengenai tindakan Gerakan membawa isu hudud ke mahkamah, Mustapa berkata, parti komponen BN itu bertindak bersendirian tanpa merujuk kepada beliau selaku Pengerusi BN negeri terlebih dahulu.

“Saya tidak dimaklumkan oleh Gerakan bahawa mereka mahu ambil tindakan sedemikian. Semua diharap bersabar dahulu kerana Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Najib Tun Razak akan panggil semua rakan komponen bertemu dalam masa terdekat.

“Dalam pertemuan ini kita akan menerangkan lebih lanjut mengenai hudud,” katanya.