Veteran UMNO Cabar MCA

KUALA LUMPUR – MCA dicabar keluar Barisan Nasional (BN) sekiranya mereka berasa hebat dan boleh ‘bergerak sendiri’.

Cabaran itu dibuat Veteran UMNO berikutan MCA yang mengugut akan memutuskan hubungan dengan UMNO sekiranya parti itu menyokong hudud.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ugutan itu bersifat angkuh dan mencabar MCA keluar dari BN sekiranya benar-benar hebat.

“Jangan hanya tahu bercakap saja. Kalau MCA anak jantan Veteran mahu MCA buktikan.

“Veteran ingin mengingatkan MCA jangan sombong dan angkuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, UMNO memang wajar menyokong hudud kerana ia adalah hukum Islam dan orang bukan Islam tidak wajar mempertikaikan sokongan tersebut.

“Adalah menjadi tanggungjawab UMNO sebagai sebuah parti yang memperjuang dan mendaulatkan Islam untuk menyokong hudud. Jadi apa perlunya MCA menyibuk dengan hudud ini?,” soalnya.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, UMNO tidak pernah mengganggu anutan agama lain sepertimana dilakukan MCA sekarang ini.

“UMNO menghormati kebebasan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia.

“Jadi tindakan penganut agama lain cuba mengganggu hak penganut agama Islam adalah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan,” katanya.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini sebulat suara meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 bagi melaksanakan hukum hudud di Kelantan.