Falsafah Di Sebalik Hudud Adalah Pencegahan, Tidak Banyak Menghukum – Peguam

PETALING JAYA – Pakar perundangan melihat falsafah di sebalik hudud adalah pencegahan dan tidak banyak kepada hukuman.

Memetik laporan sebuah portal, mereka berkata, hudud bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, berhubung isu ketidaksamaan antara orang Islam dan bukan Islam di negeri itu.

Peguam Akbardin Abdul Kader berkata, Kelantan tidak mungkin dapat melaksanakan hudud sebagaimana yang digambarkan sebelum ini kerana undang-undang Islam ini menuntut beberapa keperluan utama.

Katanya, kerajaan PAS Kelantan seolah-olah terburu-buru dalam hal ini.

Jelasnya, untuk melaksanakan tujuh kesalahan utama di bawah hudud pastinya menjadi satu beban kepada kerajaan negeri.

“Ia merupakan satu tugas yang berat seperti yang diperuntukan dalam undang-undang itu khususnya untuk mendapatkan bukti bahawa seseorang itu melakukan suatu kesalahan.

“Falsafah di sebalik hukum hudud ialah pencegahan dan lebih dilihat sebagai penghalang, tidak begitu banyak kepada hukuman,” katanya.

Jelasnya, undang-undang tersebut harus diperhalusi dan diteliti dengan sebaik mungkin bagi mengelak kekeliruan dan salah faham orang ramai.

“Sebagai contoh kes kecurian. Di bawah undang-undang Islam, mereka perlu memeriksa latar belakang tertuduh.

“Jika dia miskin, dia akan dilepaskan daripada kesalahan itu. Dia tidak boleh dihukum,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya (UM), Dr. Azmi Sharom berkata, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak sama rata kepada semua pihak tanpa mengira agama.

Katanya, walaupun perlembagaan membolehkan ketidaksamaan dalam keadaan tertentu namun, tidak ada peruntukan yang membolehkan penggunaan undang-undang jenayah yang berlainan kepada orang ramai berdasarkan agama mereka.

“Jika Parlimen meluluskannya, umat Islam di Kelantan akan dilayan secara berbeza daripada orang bukan Islam di negeri itu dan berbeza daripada umat Islam di negeri-negeri lain,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II (1993) Pindaan 2015.

Sehubungan itu, kerajaan negeri bercadang akan membentangkan rang undang-undang persendirian berkaitan hudud di Dewan Rakyat dalam masa terdekat bagi membolehkan hukum Islam dilaksanakan di negeri itu.