PKR Tolak Hudud

KUALA LUMPUR – Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengarahkan wakil tunggalnya, Mohd. Roslan Puteh (PKR – Guchil) untuk tidak tidak menyertai atau berada pada sesi pembentangan usul hudud jelas menunjukkan parti itu sama dengan sekutunya DAP yang tidak menerima hukum Islam dan mereka lebih mengutamakan politik.

Ahli Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, tindakan itu juga jelas membuktikan PKR bekerjasama dengan PAS hanya bagi memenuhi agenda atau kepentingan politik individu semata-mata.

“Parti ini (PKR) tidak pernah memperjuangkan orang Melayu, malah mereka juga mahu institusi diraja dihapuskan. Agenda mereka hanyalah memperjuangkan individu yang bernama Anwar,” katanya.

DUN Kelantan semalam sebulat suara meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) pindaan 2015.

Sohaimi menafikan dakwaan kononnya UMNO mengambil kesempatan apabila menyokong hudud yang diperjuangkan PAS selama ini.

“Itu tidak berasas sama sekali kerana UMNO tidak pernah menentang perkara yang berkaitan dengan agama Islam, selaras dengan penubuhan parti itu sendiri,” katanya.