2,000 Pelajar Cemerlang Terima Sumbangan UMNO Tanah Merah

TANAH MERAH – Kira-kira 2,000 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 dari Parlimen Tanah Merah menerima sumbangan berupa beg sekolah dan wang tunai.

Sumbangan yang menjadi amalan tradisi itu melambangkan keprihatinan UMNO bahagian Tanah Merah dalam meningkatkan kecemerlangan akademik seluruh anak-anak Tanah Merah termasuk mereka yang tinggal di luar daerah ini.

Ketua UMNO Bahagian berkenaan, Datuk Ikmal Hisham Abd. Aziz berkata, setiap tahun pihaknya tidak akan lupa untuk memberi sumbangan kepada pelajar cemerlang dan tahun ini adalah yang keenam.

“Sumbangan ini bukan sahaja diberi kepada pelajar cemerlang yang tinggal di Parlimen Tanah Merah, malah anak-anak Tanah Merah yang bersekolah di luar kawasan Parlimen ini juga turut menerimanya.

“Kita memberi sumbangan kepada pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya 1A dalam SPM dan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) dalam STPM 2014, ” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jom Masuk ‘U’ Persatuan Mahasiswa Anak Tanah Merah ( PERMATA) dan Sumbangan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia¬†(STPM) di sini hari ini.

Ikmal Hisham berkata, pelajar yang memperoleh 5A dalam SPM dan CGPA 2.0 ke atas pada STPM 2014 turut diberi bonus tambahan berbentuk wang tunai setiap seorang, tanpa mengira kaum.

“Ini adalah salah satu usaha kami untuk memberi perangsang kepada pelajar untuk terus maju dan menerusi program ini juga, mereka dapat membuat pilihan yang tepat untuk masa depan,” katanya

“Selain itu, kita juga akan berusaha membantu mana-mana pelajar dalam mengemukakan kes rayuan mereka untuk memasuki pusat pengajian tinggi tempatan,” katanya.