Henti Serang UMNO Tidak Sokong Hudud

MACHANG – Pimpinan PAS Kelantan diminta menghentikan serangan terhadap kerajaan pusat berikutan kegagalannya melaksanakan hukum hudud di negeri ini sehingga mengambil masa lebih 25 tahun.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Jazlan Yaacob berkata, tuduhan kononnya kerajaan Pusat cuba menghalang kerajaan negeri ini melaksanakan hukum Islam itu selepas diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 1993 adalah tidak benar sama sekali.

“Pimpinan PAS sepatutnya lebih banyak mengadakan muhasabah diri kenapa kerajaan Pusat tidak menyokongnya pada masa itu, sebaliknya usaha itu disokong sekarang ini”, katanya kepada sokmo.net selepas menyampaikan bantuan pasca banjir di kediamannya di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas serangan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS pada sesi pembentangan hukum hudud Rabu lalu yang menyalahkan kerajaan Pusat kerana tidak menyokong rang undang-undang tersebut sehingga tertangguh untuk dilaksanakan di Kelantan.

Tuduhan tersebut turut menyebabkan Ketua Pembangkang yang juga ADUN Kok Lanas dari Barisan Nasional (BN), Datuk Md. Alwi Che Ahmad sebak kerana kecewa ketika menepis tuduhan dua ADUN berkenaan.

Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, halangan kerajaan Pusat itu disebabkan terdapat beberapa perkara dalam rang undang-undang yang diluluskan oleh sidang DUN 1993 itu tidak menepati hukum Islam.

“Antaranya tidak memasukkan hukum suami meliwat isteri seolah-olah membenarkan suami berbuat demikian sedangkan dalam Islam menjadi satu kesalahan besar.

“Walaubagaimanapun teguran tersebut sudah dimasukkan dalam pindaan 2015 dan ia menyebabkan kesemua 12 ADUN UMNO memberi sokongan 100 peratus pada pembentangan yang diadakan selama dua hari bermula Rabu lepas,” katanya.

Tambahnya, sebagai rakyat Kelantan yang mewakili Parlimen Machang beliau akan menyokong rang undang-undang itu apabila PAS membawanya untuk dibentangkan di Parlimen kelak.

Mengenai bantuan pasca banjir, beliau berkata, biro kebajikan UMNO Malaysia telah meluluskan peruntukan lebih RM3.9 juta untuk membantu 4,920 mangsa banjir di kawasan Parlimen Machang.

“Bantuan tersebut membabitkan beberapa peralatan dapur termasuk periuk, dapur gas dan tilam serta bantal bagi meringankan beban mangsa.

“Setakat ini, kira-kira 70 peratus barangan telahpun diagihkan kepada mangsa manakala bakinya akan disempurnakan pada penghujung minggu ini,” katanya.