Masjid Banggol Kemian Terima Sumbangan RM60,000

PASIR MAS – Masjid Banggol Kemian, Pengkalan Pasir di sini menerima sumbangan sebanyak RM60,000 daripada Tabung Ihsan Pemulihan Masjid Banjir Kelantan.

Sumbangan itu disampaikan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat untuk membaik pulih masjid berkenaan yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir.

Hanafi berkata, sumbangan itu membuktikan sifat cakna UMNO untuk membantu masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

“Biarpun ada segelitir mereka sedang sibuk berkempen, memburuk-burukkan UMNO namun, rakyat boleh tengok sendiri usaha atau keperihatinan kita (UMNO) dalam membantu rakyat yang ditimpa musibah banjir,” katanya.

Tabung Ihsan Pemulihan Masjid Banjir Kelantan diwujudkan hasil cetusan idea Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan dipengerusikan oleh Pengerusi Biro Agama UMNO Kelantan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Banjir luar biasa yang melanda negeri ini sekitar Disember tahun lalu adalah dianggap terburuk dalam sejarah negara yang mengakibatkan 83 masjid dan 242 surau mengalami kerosakan teruk.