PKR Tidak Akan Sokong RUU Persendirian Hudud Kelantan

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang akan dibawa ke Parlimen bagi meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (pindaan 2015) atau hukum hudud.

Menurut kenyataan bersama tujuh pimpinan tertinggi parti itu, mesyuarat biro politik memutuskan PKR tidak boleh menyokong RUU Persendirian itu atas dua faktor iaitu, tidak dimaklumkan mengenai perkara itu selain bercanggah dengan keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Tjuh pimpinan terbabit ialah, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalannya, Azmin Ali; Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli ; Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mereka berkata, selain tidak memaklumkan dalam mesyuarat 18 Mac lalu, RUU itu tidak akan disokong berdasarkan prinsip Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasid Syariah.

“Mengikut Peraturan Tetap Dewan Rakyat, sebarang RUU hanya akan dibahaskan dengan restu pihak kerajaan. Hakikatnya, tidak ada seorang pimpinan tertinggi UMNO atau Barisan Nasional (BN) yang membuat kenyataan terbuka dan jelas mengenai pendirian mereka berkenaan RUU Persendirian tersebut jika di bawa ke Parlimen, termasuklah (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Sehubungan itu PKR menggesa kerajaan UMNO-BN menjelaskan sama ada ia merestui RUU Persendirian tersebut dibahas dan diundi di Parlimen.