PRK DUN Chempaka: 1,020 Anggota Keselamatan Ditugaskan

KOTA BHARU – Sebanyak 1,020 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka esok.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kesemua pegawai dan anggota terlibat akan mula bertugas seawal jam 5.30 pagi terutama di beberapa buah lokasi pengundian yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pengundi jangan khuatir kerana polis sentiasa ada di pusat mengundi. Jika mereka menghadapi masalah, maklum kepada polis yang bertugas,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Batalion 8 Pasukan Gerakan Am Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Sembilan lokasi pengundian itu ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gajah, SK Sabak, SK Parang Puting, SK Kem, SK Che Deris, SK Seri Chempaka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badang, SMK Pengkalan Chepa, dan Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin A’ishah Putri Chempaka.

Mazlan berkata, pihaknya juga akan menempatkan lebih ramai anggota di beberapa kawasan panas yang dikenal pasti kerana dijangka perayu undi dari luar negeri akan turun merayu undi.

Beliau memberitahu, setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

PRK DUN Chempaka menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat calon Bebas.

PAS diwakili, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42 manakala bebas terdiri daripada Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48, Sharif Mahmood, 59,  Fadzillah Hussin, 55, dan  Aslah Mamat, 64.