PRK DUN Chempaka: SPR Kaji Kemerosotan Pengundian Awal

KOTA BHARU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengkaji faktor kemerosotan peratus pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, 18 Mac lalu.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah berkata, SPR memandang serius perkara itu dan kajian terperinci perlu dilakukan sebelum membuat apa-apa rumusan.

“Insya-ALLAH kita akan kaji secara menyeluruh kenapa boleh berlaku begitu. Apabila semuanya selesai, pengerusi (Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof) akan umumkan kenyataan susulan.

“Pembaharuan akan dibuat selepas ini sekiranya perlu ada koordinasi dan SPR sentiasa memerhati dan akan buat apa sahaja untuk kebaikan pengundi-pengundi, saya harap sasaran 70 peratus untuk keluar mengundi esok akan tercapai,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau meninjau persiapan akhir bagi PRK DUN Chempaka yang akan diadakan esok.

Pengundian awal bagi PRK tersebut 18 Mac lepas menyaksikan 35.40 peratus atau kira-kira 530 orang daripada 1,497 pengundi awal.

Mohd. Hashim berkata, SPR berpuas hati dengan kempen kali ini yang berjalan lancar tanpa ada masalah besar.

Beliau berharap, kempen kali ini juga akan dapat dijadikan contoh kepada pilihan raya yang akan datang.