PRK DUN Chempaka: UMNO Galakkan Ahlinya Keluar Mengundi

KOTA BHARU – Semua pengundi termasuk ahli UMNO di Parlimen Pengkalan Chepa dinasihatkan supaya keluar membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka esok (22 Mac).

Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Zaluzi Sulaiman, berkata, sebagai pemimpin kanan UMNO bahagian, beliau menasihatkan rakyat di kawasan berkenaan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Walaupun Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada PRK kali ini tapi UMNO tidak menghalang ahlinya daripada keluar mengundi.

“Malah kita menggalakkan mereka supaya keluar menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pengundi dan kita berharap seluruh ahli-ahli UMNO khususnya keluar mengundi sebagai rakyat malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Wang Ihsan Bencana Banjir 20104/2015 Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 1, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan seramai 3,785 mangsa banjir dari seluruh Parlimen Pengkalan Chepa menerima bantuan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berharap semua parti yang terlibat pada PRK tersebut tidak menggunakan masa berkempen mereka untuk memprovokasi mana-mana parti yang tidak bertanding dengan pelbagai tuduhan dan fitnah.

“Teruskan perjuangan dengan telus untuk meyakinkan rakyat terhadap agenda yang bakal dibawa nanti,” katanya.