PRK DUN Chempaka : UMNO Tidak Halang Ahli Keluar Mengundi

 

KOTA BHARU – UMNO Kelantan tidak menghalang ahli serta penyokongnya untuk keluar mengundi biarpun parti itu tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka esok.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya memberi kebebasan kepada ahlinya untuk memilih mana-mana calon pada PRK tersebut.

“Kita bagi kebebasan (kepada ahli). Setiap ahli ada kebebasan di bawah perlembagaan. Jadi, kita tidak masuk campur sedikit pun.

“Parti tidak mempunyai hak untuk menghalang ahli untuk mengundi kerana itu menjadi kesalahan pilihan raya. UMNO juga tidak menaja mana-mana calon maka tiada ada apa-apa panduan kepada mereka.

“Kita serah kepada mereka untuk memilih calon terbaik untuk mewakili mereka di DUN Chempaka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.

Sebanyak 20,390 pengundi berdaftar bakal memilih wakil rakyat baharu esok bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Chempaka selepas penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia akibat kanser prostat pada 12 Februari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Nik Abdul Aziz menang dengan 12,310 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Wan Razman Wan Abd Razak memperolehi 5,810 undi.

Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberitahu, UMNO negeri sedang memberi tumpuan untuk proses peremajaan parti di negeri ini untuk mendekati golongan muda.

“Pemuda UMNO akan memberi tumpuan untuk mendekati golongan muda dan remaja di kawasan kampung manakala Biro Pendidikan akan mendekati penuntut di institut pengajian tinggi (IPT).

“Pada masa sama, kita juga tidak mahu melupakan golongan yang mendapat pendidikan agama dari dalam mahupun luar negara. Kita akan adakan usrah dengan ustaz-ustaz muda sebagai cara mendampingi golongan muda,” katanya.

Tambahnya, UMNO negeri juga bercadang untuk mengadakan kerjasama erat bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan golongan profesional pada masa depan.