Status Roslan, PKR Tunggu Laporan Penuh

KUALA LUMPUR – Mohd. Roslan Puteh masih ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), kata Naib Presiden parti itu, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau diminta mengulas berhubung status Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu yang dikatakan turut mengundi enakmen hudud pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Khamis lepas.

Katanya, masih terlalu awal untuk membuat keputusan dan pihaknya akan meneliti siasatan mengenainya sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kami masih lagi sedang mendapatkan laporan penuh, masih terlalu awal untuk kami membuat keputusan, tetapi sekarang ini beliau masih ahli PKR,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat PKR di ibu pejabat parti itu lewat malam tadi.

Khamis lepas, DUN kelantan sebulat suara meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) Pindaan (2015).

Roslan merupakan ADUN tunggal PKR daripada 44 anggota DUN berkenaan yang dikatakan turut menyokong dalam meluluskan enakmen tersebut.

PKR sebelum ini telah mengarahkan Roslan agar tidak menyertai atau berada pada sesi pembentangan usul hudud yang diluluskan pada hari berkenaan.