1,000 Pelajar Ikuti Program Penerangan Kemasukan Ke UiTM

TANAH MERAH – Seramai 1,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diberi penerangan berhubung kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) tahun ini.

Pengarah Bahagian Pengambilan UiTM, Muhamad Nizam Nordin berkata, penerangan itu memfokuskan kepada syarat kemasukan ke UiTM berdasarkan keputusan yang diperolehi.

“Untuk memohon kemasukan ke UiTM, pelajar dinasihatkan supaya berbincang dengan ibubapa terlebih dahulu sebelum membuat pilihan program bagi mengelak masalah dalam pengajian nanti.

“Selain itu, pelajar juga dinasihatkan supaya memilih program berdasarkan keputusan peperiksaan agar ia memenuhi syarat kemasukan dan membantu pelajar menerima
tawaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Program Istimewa (Khas) Kemasukan ke UiTM bersama Anak Warga Tanah Merah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah (1) di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abd. Aziz, Rektor UiTM Kelantan, Prof. Madya Datuk Dr. Hilmi Ab. Rahman dan Pengarah Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB), Prof. Madya Mohd. Hanafiah Harun.

Dalam pada itu, Muhamad Nizam berkata, untuk tahun ini, UiTM menyediakan 196 program yang membabitkan program Asasi, Diploma serta Sarjana Muda.

“Daripada jumlah tersebut, dua khusus baharu ditawarkan tahun ini iaitu Diploma Pengurusan Halal dan Diploma
Muamalat,” katanya.

Sementara itu, Datuk Ikmal Hisham Abd. Aziz berkata, setiap tahun, pihaknya akan mengadakan program sedemikian bagi membantu pelajar memilih bidang yang sesuai dengan pencapaian mereka.

“Program ini adalah salah satu usaha kita untuk membantu pelajar membuat pilihan untuk masa depan mereka dan UiTM telah banyak membantu kita, ” katanya.