Hudud: BN Umum Pendirian Selewat-lewatnya Selasa Ini

PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan pendiriannya berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan selewat-lewatnya Selasa ini.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perkara itu akan diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Selewat-lewatnya esok atau lusa. Seperti diketahui, hudud mesti mengikut Perlembagaan negara.

“Saya tidak kata yang kami menentang hudud. Hukum tetap hukum. Sebagai orang Islam, hukum Allah merupakan hukum. Pihak yang memainkan (isu) ini ialah DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya.

Beliau diminta mengulas pendirian BN berhubung isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan selepas merasmikan program Pasukan Sukarelawan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) dan Kelab Rukun Tetangga Suria (Cawangan Bunga Matahari) di sini, hari ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Khamis lepas meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).

Tengku Adnan berkata, isu hudud sebenarnya merupakan provokasi DAP dan PKR, yang cuba mengelirukan dan memecah-belahkan BN.

“Mereka ingat mereka boleh memecah-belahkan BN. Kepimpinan BN adalah berbeza kerana kami percaya pada keputusan konsensus dan kerana itulah kami mengadakan mesyuarat khas dengan semua pemimpin utama parti komponen BN untuk mendapat pandangan mengenai hukum hudud.