Kerajaan Persekutuan Berusaha Beli Tanah Bantu Mangsa Banjir

TUMPAT – Kerajaan Persekutuan kini dalam usaha membeli tanah milik persendirian untuk membina rumah kekal kepada mangsa banjir di negeri ini yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir sekitar Disember tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bersama Banjir Negeri Kelantan, Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata, langkah tersebut antara inisiatif kerajaan persekutuan bagi mempercepatkan pembinaan kira-kira 1,000 rumah kekal kepada mangsa yang tidak memiliki tanah sendiri.

“Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membina 1,244 buah rumah kekal daripada 1,827 rumah yang musnah sepenuhnya.

“Daripada jumlah itu (1,244) hanya 249 keluarga sahaja yang mempunyai status tanah yang jelas manakala 995 keluarga lagi status tanahnya masih diragui sama ada bukan hak milik sendiri dan sebagainya,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau kerja membaik pulih rumah mangsa banjir di Kampung Kebakat di sini, hari ini.

Kerajaan Kelantan bersetuju untuk membina 600 rumah kekal kepada mangsa banjir.

Mustapa memberitahu, setakat ini kerajaan persekutuan telah membina sebanyak 249 rumah kekal kepada mangsa banjir di negeri ini.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 38 rumah telah siap sepenuhnya manakala 76 masih dalam pembinaan dan baki 135 buah rumah lagi masih dalam status prapembinaan,” katanya.

Beliau berharap, kesemua rumah tersebut dapat disiapkan sepenuhnya menjelang Hari Raya Aidilfitri Julai depan.

Beliau berkata, kerja membaik pulih melibatkan sebanyak 2,676 rumah di seluruh negeri ini yang rosak akibat banjir, telah dilaksanakan.

“Sebanyak RM10,000 diperuntukkan kepada setiap rumah untuk kerja-kerja membaik pulih tersebut.

“Di jajahan Tumpat sahaja, 30 rumah layak dibaiki dengan 25 telah siap sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Mustapa meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan untuk menyegerakan pengagihan bantuan wang ihsan kepada kira-kira 87,470 keluarga mangsa banjir sebelum akhir Mac ini.

“Sehingga kini hanya 29,162 keluarga memperoleh wang ihsan sebanyak RM500 bagi setiap keluarga,” katanya.