PAS Mampu Berjuang Sendirian Tanpa Sekutu

KOTA BHARU – PAS Kelantan tetap akan membawa rang undang-undang persendirian berkaitan pelaksanaan hudud di Parlimen meskipun rakan sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP telah menyatakan untuk tidak menyokongnya.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya sedia menerima hakikat walau terpaksa berjuang bersendirian tanpa sebarang sokongan daripada mana-mana rakan sekutu.

Katanya, keputusan PKR dan DAP itu tidak mengejutkan kerana sepanjang berada bersama Pakatan Rakyat (PR), PAS telah beberapa kali disisihkan dua rakan sekutunya itu sehingga terpaksa berjuang bersendirian dalam pelbagai isu.

“Kalau betul PKR pun tak nak bersama kita, kita terima hakikat, kita tak boleh paksa dia ikut kita. Apa yang penting kita kena teruskan hudud sebab ini memang perjuangan PAS.

“Andai PAS balik ke asal iaitu bersendirian pun kita terima hakikat, tetapi sejarah membuktikan kita tetap boleh hidup walaupun sudah beberapa kali bersendirian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

PAS tidak mendapat restu pakatan pembangkang untuk memperjuangkan pelaksanaan hudud di Kelantan selepas PKR memutuskan mengikut langkah DAP untuk tidak menyokong hasrat parti itu membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen.

Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik PKR semalam dan kenyataan rasmi mengenainya ditandatangani Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail serta barisan pimpinan tertinggi parti.

Malah PKR dilaporkan bakal mengambil tindakan tatatertib terhadap wakil rakyat tunggalnya di Kelantan, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Roslan Puteh kerana bertindak berani membelakangi parti dengan menyokong hudud.

Roslan merupakan salah seorang daripada 44 ADUN Kelantan yang menyokong sebulat suara pindaan ke atas Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 walaupun diarahkan tidak berbuat demikian oleh kepemimpinan tertinggi PKR.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan menegaskan, PKR dan DAP tidak beroleh apa-apa keuntungan jika terus degil membantah dan menghalang usaha PAS melaksanakan hudud di negeri ini.

Bantahan yang tidak patut berlaku itu kata beliau, hanya akan merugikan keseluruhan pakatan pembangkang yang selama ini memerlukan satu sama lain.