PRK DUN Chempaka: 9 Pusat Dibuka Jam 8 Pagi, Proses Mengundi Bermula

KOTA BHARU – Sembilan pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka mula dibuka pada pukul 8 pagi ini.

Sembilan pusat mengundi itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gajah, SK Sabak, SK Parang Puting, SK Kem, SK Che Deris, SK Seri Chempaka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badang, SMK Pengkalan Chepa, dan Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin A’ishah Putri Chempaka.

Proses pengundian akan berlangsung sehingga jam 5 petang.
Seramai 20,390 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi di DUN terbabit.

PRK Dun Chempaka menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon Pas dan empat bebas.

Pas diwakili, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42, manakala empat calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48, Sharif Mahmood, 59, Fadzillah Hussin, 55, dan Aslah Mamat, 64.

Barisan Nasional (BN) tidak tidak bertanding pada PRK kali ini bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir setelah negeri ini dilanda banjir luar biasa sekitar Disember tahun lalu.

PRK DUN Chempaka diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, pada 12 Feb lepas.