PRK DUN Chempaka: Calon Popular Hilang Wang Pertaruhan

KOTA BHARU – (Dikemaskini) Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka menyaksikan sejarah tersendiri dalam pilihan raya negara apabila kesemua calon bebas hilang wang pertaruhan.

Sekali gus PAS berjaya mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum lalu dengan majoriti meningkat kepada 10,092 walaupun peratusan keluar mengundi menurun kepada 55 peratus.

PAS yang diwakili Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, memperolehi 10,899 undi manakala, Izat Bukhary Ismail Bukhary (51), Fadzillah Hussin (89),  dan Aslah Mamat (27).

Sementara itu, seorang lagi calon bebas, Sharif Mahmood, pagi tadi mengatakan PRK tersebut bakal menjadikannya lebih popular  mendapat 807 undi.

PRK DUN Chempaka diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, pada 12 Februari lau akibat kanser prostat.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Nik Abdul Aziz menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Wan Razman Wan Abd Razak dengan majoriti 6,500 undi.

Allahyarham yang juga bekas Mursyidul Am PAS menguasai kawasan DUN Chempaka selama tujuh penggal berturut-turut.

Seramai 21,890 pengundi berdaftar di Chempaka yang terdiri daripada 20,390 pemilih biasa, 1,497 pemilih awal dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.

Keputusan PRK tersebut diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Chempaka, Ibrahim Bakri Mat Deris pada pukul 9 malam ini di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bitara Pengkalan Chepa, di sini.

BN tidak bertanding dalam PRK tersebut bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja membantu mangsa banjir dan memulihkan negeri ini yang terjejas teruk akibat malapetaka itu sekitar Disember lalu.

Disamping itu, langkah tersebut juga bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan rakyat apabila bibit-bibit perpaduan telah menjelma ekoran kerjasama erat antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan untuk membangunkan semula negeri ini.

Sementara itu, Ahmad Fathan Berkata, beliau tidak menyangka memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih besar.

“Alhamdulilah, ini yang kita harapkan. Saya akan meneruskan perjuangan Tok Guru Nik Abdul Aziz di kawasan ini,” katanya.