PRK DUN Chempaka: Proses Pengundian Lancar, Tiada Unsur Provokasi

KOTA BHARU – Proses pembuangan undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka berjalan lancar sejak ia mula dibuka pada pukul 8 pagi ini.

Difahamkan, peratusan keluar mengundi sehingga jam 12 tengahari ini mencatatkan 38.82 peratus iaitu 7,915 orang daripada 20,390 jumlah pengundi biasa.

Tinjaun sokmo.net di beberapa pusat pengundian di sini mendapati, proses pengundian berlangsung dalam suasana tenang dengan keadaan cuaca yang baik memudahkan lagi para pengundi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang pemilih.

Suasana di sekitar pusat pengundian terkawal dengan kehadiran anggota polis yang mengawal lalu lintas di setiap kawasan terbabit.

Selain calon-calon yang bertanding, turut melawat pusat pengundian ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

PRK DUN Chempaka diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, akibat kanser prostat pada 12 Feb lepas.

SPR menjangkakan keputusan rasmi PRK tersebut dapat diketahui seawal jam 8 malam.

Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada PRK tersebut bagi memberi tumpuan kepada kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember tahun lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim memberitahu, tiada sebarang provokasi dan insiden tegang berlaku ketika proses pengundian berlangsung.cropper

Beliau berkata, pihaknya turut menempatkan skuad anti kesesakan di sembilan pusat mengundi bagi memastikan proses mengundi dari pukul 8 pagi hingga 5 petang berjalan lancar.

“Daripada lawatan (saya) ke beberapa pusat pengundian, didapati proses pengundian berjalan lancar,” katanya.

Seramai 1,020 anggota dan pegawai polis ditempatkan di kesemua pusat pengundian.