PRK DUN Chempaka: Sembilan Pusat Mengundi Ditutup, 55 Peratus Keluar Mengundi

KOTA BHARU – (Dikemaskini) Kesemua sembilan pusat pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka ditutup 5 petang ini.

Sembilan pusat terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gajah, SK Sabak, SK Parang Puting, SK Kem, SK Che Deris, SK Seri Chempaka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badang, SMK Pengkalan Chepa, dan Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin A’ishah Putri Chempaka.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, hanya 55 peratus iaitu 12, 035 pengundi keluar mengundi sehingga jam 5 petang tadi.

Beliau berkata, angka itu sangat rendah berbanding Pilihan Raya Umum lalu iaitu 85 peratus yang keluar mengundi.

Beliau tidak menolak kemungkinan ia disebabkan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding selain pengundi luar yang tidak pulang.

Menurutnya,, keputusan rasmi PRK itu dijangka diumumkan 9.30 malam ini.

Seramai 21,890 pengundi berdaftar di Chempaka yang terdiri daripada 20,390 pemilih biasa, 1,497 pemilih awal dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.

PRK DUN Chempaka diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, pada 12 Februari lau akibat kanser prostat.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu, Nik Abdul Aziz menewaskan  calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak  majoriti 6,500 undi.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu mendapat 12,310 undi, manakala Wan Razman memperolehi 5,810 undi.

PAS diwakili Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42 manakala empat calon bebas iaitu Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48, Sharif Mahmood, 59, Fadzillah Hussin, 55, dan  Aslah Mamat, 64.

BN tidak bertanding pada PRK ini bagi memberi tumpuan kepada kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember lepas.