PRK DUN Chempaka: SPR Jangka 70 Peratus Keluar Mengundi Akan Tercapai

KOTA BHARU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan, 70 peratus keluar mengundi pada Pilihan Raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka mampu dicapai sehingga tamat waktu pengundian pada pukul 5 petang ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, berdasarkan peratusan keluar mengundi sehingga tengahari ini menunjukkan pengundi-pengundi begitu bersemangat untuk memilih wakil rakyat baharu.

Sehingga jam 12 tengahari tadi mencatatkan peratus keluar mengundi adalah sebanyak 38.82 peratus atau 7,915 daripada 20,390 orang jumlah pengundi biasa.

Abdul Aziz berharap, trend itu akan berkekalan sehingga sembilan pusat mengundi DUN terbabit ditutup pada pukul 5 petang ini.

“Berdasarkan pengalaman dalam PRK yang tidak melibatkan parti selalu bertanding seperti Barisan Nasional (BN), peratusan keluar mengundi rendah.

“Pada PRK Penanti misalnya, hanya 46 peratus keluar mengundi manakala di PRK Bukit Gelugor, 56.3 peratus,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan di Pusat Pengundian Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin A’ishah Putri di sini hari ini.

PRK tersebut menyaksikan pertembungan lima penjuru di antara calon Pas, Ahmad Fathan dengan empat calon bebas.