Tabung Ihsan Pemulihan Masjid Banjir Kumpul Dana RM10.7 Juta

GUA MUSANG – Tabung Ihsan Pemulihan Masjid Banjir berjaya mengumpul dana sebanyak RM10.7 juta dalam tempoh tiga bulan untuk membaik pulih masjid dan surau yang terjejas akibat banjir sekitar Disember lalu.

Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebanyak 83 buah masjid dan 242 surau di seluruh negeri ini mengalami kerosakan teruk dan perlu dibaik pulih.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM2.5 juta telah digunakan bagi memulihkan 36 buah masjid yang rosak.

“Kami telah bergerak aktif setiap minggu bagi melaksanakan program bantuan ini. Sekarang ini boleh dikatakan 25 peratus kita telah membantu masjid yang memerlukan pembaikan infrastruktur.

“Selain mengagihkan dana, kita juga telah menyumbang kelengkapan asas untuk masjid yang rosak kerana ditenggelami banjir,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Chiku di Chiku 3, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.

Menurut Asyraf Wajdi, sehingga kini kutipan dana masih lagi berjalan kerana pihaknya memerlukan kira-kira RM20 juta untuk kerja-kerja baik pulih itu.

“Kita berharap akan menerima sumbangan secara berterusan daripada pelbagi pihak bagi memastikan ke semua masjid dan surau yang rosak dapat dipulihkan segera,” katanya.